Ustaz Muhamad Abdullah (Ustaz Amin)
Bacaan surah Yusuf, ayat 5:
Hari ini akan dibincangkan tanda-tanda atau jawapan Allah
daripada istikharah yang dilakukan. Ada beberapa bentuk, antaranya:
Melalui mimpi:
Oleh sebab itu digalakkan di buat istikharah
sebelum tidur, dan kemudian tidur dengan keadaan berwudhuk. Nabi SAW ada
bersabda yang bermasksud, pada akhir zaman, mimpi seorang yang beriman itu
hampir tidak berdusta. Dalam Al-Quran, ada beberapa ayat, contohnya ayat yang
dibacakan tadi, menceritakan bagaimana petunjuk Allah datang melalui bentuk
mimpi. Dalam satu hadis lain diceritakan ketika Nabi SAW terkena sihir, baginda
bermimpi melihat 2 orang malaikat yang membincangkan bahawa Nabi SAW telah
disihir dan cara untuk mengubati Nabi SAW. Nabi SAW pun mengarahkan sahabat
menurut arahan yang diajarkan malaikat itu dan terbukti kebenarannya.
Dalam satu lagi kisah, guru Salahuddin Al-Ayyubi iaitu Raja
Nuruddin pernah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW 3 kali. Ketika itu baginda
Nabi SAW telah wafat. Baginda berkata, “Lihat aku, tengok aku”. Beliau pun
kehairanan dan pergi ke Madinah namun tidak mendapat apa-apa jawapan. Kemudian
beliau menganjurkan satu majlis di luar Madinah dan meminta semua orang
menghadirinya. Apabila diperiksa, didapati ada 2 orang yang tidak hadir, dan
dikatakan mereka merupakan ulama daripada Maghribi. Raja Nuruddin pun pergi ke
rumah ulama yang dikatakan itu dan didapati ada satu terowong di bawah tanah
yang dibina daripada rumah mereka untuk mencuri jasad Nabi SAW daripada
makamnya. Terowong itu tinggal sedikit saja untuk siap. Ulama itu sebenarnya
merupakan orang Yahudi. Ini membuktikan bahawa orang Yahudi tidak akan pernah
berehat daripada untuk menyakiti Nabi SAW dan umat Islam. Oleh itu, kita semua
bertanggungjwab untuk melindungi Nabi SAW. Selepas itu, Raja Nuruddin pun berazam
untuk membebaskan Jurusalem daripada cengkaman tentera Salib. Beliau membina 2
buah mimbar dan berniat meletakkannya di Masjid Al-Aqsa. Namun, Raja Nuruddin meninggal
dan usahanya disambung oleh Salahuddin Al-Ayyubi yang kemudiannya berjaya
menawan Jurusalem.
Mimpi pula ada kalanya datang secara jelas, ada kalanya kita
perlu mentafsirnya. Jika perlu ditafsir, ada 3 jalan mentafsirnya iaitu:
- Tafsir sendiri – boleh rujuk kitab Tafsir Ibnu Sirin. Jika mimpi tak jelas, biasanya maksudnya terbalik. Contoh jika mimpi dapat emas, mungkin ada maksud tidak baik.
- Jangan mudah bercerita pada orang lain tentang mimpi yang dialami. Inilah yang dipesan kepada Yusuf, ketika menceritakan mimpi kepada ayahnya.
- Ceritakan kepada orang yang kita sayang atau orang yang mampu mentafsir.
Melalui lintasan atau gerak hati:
Bentuk kedua ialah melalui gerak hati atau kecenderungan
hati. Ada satu hadis yang menyebut jika ingin berbuat sesuatu, lakukan solat
istikharah sebanyak 7 kali dan ikutlah kecenderungan hati.
Melalui kemudahan melakukan sesuatu:
Bentuk ketiga ialah dipermudahkan jalan untuk mencapai sesuatu perkara. Contohnya jika berkira-kira untuk berniaga, Allah permudahkan jalan bertemu pembekal, mencari stok, pekerja dan pelanggan.
Bentuk ketiga ialah dipermudahkan jalan untuk mencapai sesuatu perkara. Contohnya jika berkira-kira untuk berniaga, Allah permudahkan jalan bertemu pembekal, mencari stok, pekerja dan pelanggan.
Sebagai maklumat tambahan: Cara meminta jawapan melalui
Al-Quran:
Selesai solat istikaharah, ambil Al-Quran, selawat beberapa
kali dan kemudian buka secara rambang. Ayat pertama yang dilihat mata itu
mungkin merupakan jawapan daripada Allah. Ini merupakan amalan para ulama.
Boleh dicuba ketika kita memerlukan jawapan yang segera.
Hukum mengikut petunjuk istikharah: Afdhal, tetapi tidak
wajib. Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud, “Antara kesukaran yang akan dihadapi anak Adam adalah apabila
dia tidak mengikut keputusan istikharahnya”. Oleh itu, lebih baik ikut dan
redha dengan petunjuk yang diberi.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Ada pendapat mengatakan tidak perlu memohon istikharah
kerana qada’ dan qadar kita telah ditetapkan Allah. Apa pandangan ustaz?
J: Betul, qada’ dan qadar telah ditetapkan. Namun, Nabi SAW
sendiri pernah bersabda yang bermaksud, tiada yang dapat mengubah takdir
kecuali doa. Walaupun telah ditetapkan, kita tidak tahu, oleh sebab itu, Nabi
SAW mengajar kita untuk beristikharah. Di samping itu, Allah melihat usaha dan
inilah peluang untuk kita menambah pahala.
S: Saya telah buat solat istikharah, namun masih belum dapat
jawapan. Mohon penjelasan ustaz.
J: Solat istikharah ini diajar Nabi SAW, oleh itu mustahil
tidak mendapat jawapan atau petunjuk. Sila periksa kembali kaifiat yang
dibincangkan semalam, mungkin ada yang masih tidak betul dilakukan.
S: Adakah surah tertentu untuk dibaca ketika solat
istikharah?
J: Tiada sebenarnya, terpulang kepada kemampuan dan
kekusyukan seseorang.
S: Antara solat istikharah dan solat hajat, mana yang lebih
afdhal?
J: Solat istikharah dilakukan dalam keadaan keliru untuk
membuat pilihan. Jika berhajat kepada sesuatu pula, lebih elok ditunaikan solat
hajat.
S: Adakah apabila terlalu meminta sesuatu kita seolah-olah
memaksa Allah?
J: Allah yang minta kita berdoa, oleh itu tidak timbul soal
kita memaksa. Berdoa merupakan juga satu bentuk tauhid kepada Allah. Sebenarnya
tiada doa yang Allah tidak makbulkan. Cuma bentuk jawapannya yang berbeza: ada
kalanya Allah beri terus apa yang kita minta, ada kalanya Allah beri yang lebih
baik, atau ada kalanya Allah beri jalan untuk mencapai perkara yang lebih baik.
S: Bagaimana untuk menguatkan hati mengikut petunjuk
istikharah?
J: Untuk kuatkan hati mengikut istikharah, lazimi membaca
‘La hawla wala quwwata illa billah…’ sehingga akhir ayat.
S: Bagaimana cara untuk seorang wanita yang haid mendapatkan
jawapan istikharah segera?
J: Mohon bantuan orang lain untuk mendoakan, atau guna
kaedah menggunakan Al-Quran yang dibincangkan tadi, tetapi gunakan Al-Quran
tafsir.
S: Jika tiada keperluan istikharah, bolehkah juga dilakukan?
J: Lebih elok tunaikan solat sunat lain.
S: Bagaimana pula jika setelah mengikut petunjuk istikharah, tetapi
masih mengalami kesusahan?
J: Kesusahan hari ini tidak bermakna sesuatu yang tidak
baik. Ada kalanya Allah beri kesusahan agar kita belajar daripada
kesusahan tersebut dan menggunakan pengetahuan itu untuk kemudahan masa
hadapan.
saya tak faham dengan apa yang disampaikan:: apa maksud tulisan itu ek ?
impianafida
semoga diberi kesempatan untuk mengetahui maksud itu .Sebagai maklumat tambahan: Cara meminta jawapan melalui Al-Quran:Selesai solat istikaharah, ambil Al-Quran, selawat beberapa kali dan kemudian buka secara rambang. Ayat pertama yang dilihat mata itu mungkin merupakan jawapan daripada Allah. Ini merupakan amalan para ulama. Boleh dicuba ketika kita memerlukan jawapan yang segera.
impianafida
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum / salam sejahtera. Jemputlah komen jika bermanfaat. Terima kasih :)