page

nuffnang

11 December 2012

Tika Bidadari Berbisik: Muhasabah Diri Jalan Meraih Cinta Abadi






ADAKALANYA kita terkapai-kapai keseorangan menghadapi kegetiran hidup. Sangat sukar untuk berkongsi derita dengan insan sekeliling. Jadikan mutiara kata ini sebagai penguat hati seandainya kesedihan berlabuh di hati tatkala ia semakin lemah dan kalah.

§  Sekiranya seorang perempuan tidak menemui lelaki yang sesuai dan baik untuk dijadikan teman hidup, adalah lebih baik dia menjaga diri dan tidak berkahwin dengan lelaki yang tidak berakhlak dan tidak beragama.

Hidup merupakan pinjaman daripada ALLAH S.W.T. Rutin hidup manusia tidak jauh berbeza di antara satu sama lain. Kita akan celik mata dan terjaga dari tidur dan akan tidur kembali untuk bangun keesokannya.

Jadikan hari ini hari yang terbaik buat kita dan lakarkan yang lebih baik daripada semalam. Janganlah menyeksa diri hanya kerana lelaki yang tidak taat pada agama. Dapatkah dia menyejukkan hati ini andai dia seorang yang tidak menunaikan solat dan tidak tahu tanggungjawabnya sebagai suami?

Dapatkah kita mendiamkan hati yang meronta-ronta untuk berubah menjadi hamba yang taat kepada ALLAH S.W.T sedangkan si suami tidak mengizinkan sedemikian kerana dia ingin kita bergaya, berhias sehingga menolak tepi batasan aurat yang digariskan? Sanggupkah kita mengorbankan keinginan semata-mata kerana permintanya itu?

§   Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Jika masih tiada, bererti belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat, dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan.

Jodoh itu adalah ketetapan ALLAH S.W.T. Tiada siapa tahu siapakah jodohnya atau bilakah jodohnya akan datang dalam hidupnya. Sepanjang penantian ini, isilah kehidupan dengan perkara yang bermanfaat.

Sindiran dan kutukan daripada orang sekeliling tidak akan menyebabkan kita berkudis dan patah kaki. Teruskan hidup dan teruskan berdoa. Sepanjang menanti jodoh, bukalah hati untuk mencintai Rasulullah s.a.w kerana mencintai baginda akan menyempurnakan iman seseorang. Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling layak mendapat cinta kita!

§Nyatakanlah perasaan dan keinginan kita dalam doa- doa selepas solat dan dalam sujud. ALLAH itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji- NYA kerana kita adalah orang yang beriman.

Tiada penawar terbaik untuk mengatasi kesedihan kecuali solat. Kerana ia menjadi doa dan itulah kekuatan dan merupakan jambatan yang menghubungkan permohonan kita dengan ALLAH S.W.T.

Menurut Iman Ghazali, “Solat tahajud ataupun qiamullail adalah solat para nabi. Bangunlah pada malam yang akhir dan gunakan waktu itu untuk meminta hajatmu nescaya akan segera ditunaikan ALLAH.” (Dipetik daripada Wasiat 4 Imam/ penulis Abu Ahmad Yasin).

Bangun berwuduk dan kemudian bersolat tatkala insan lain sedang lena tidur adalah kekuatan yang harus dikekalkan. Hanya mereka yang menjadikan ia sebagai satu amalan akan dapat merasakan kesannya. Pada waktu ini curahkanlah apa sahaja yang kita ingin curahkan kerana di kala ini ALLAH benar-benar sedang mendengar keluhan dan sangat dekat dengan kita. Yakinlah bahawa ALLAH  S.W.T sedang mendengar dan bersabarlah untuk dikabulkan doa yang dipinta. Jika ALLAH  S.W.T boleh bersabar dengan kita untuk kembali kepada-NYA semula, kenapa tidak kita?

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan “tartil”. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya KAMI akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).  Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. -Al-Muzzammil: 1-6

§   Ketika kita terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal pula mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Lalu kita pun mengeluh, “Alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju.” Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta. Bukan semua yang kita sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga akan datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.

Dapatkah difahami kiasan tadi? Kiasan tersebut menerangkan bahawa kita sering berasa betapa bertuahnya mereka/orang lain yang mempunyai keluarga atau memiliki sesuatu yang tidak dapat kita miliki sedangkan mereka ini pula merasakan betapa bertuahnya menjadi diri kita; iaitu bebas dan dapat melakukan apa yang diingini tanpa dibebani dengan tanggungjawab yang sedang digalas.

§  Bukankah dengan ijab dan kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah apabila kita gagal melaksanakannya, bererti kita membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramai pula yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika berasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan kerenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu kerana kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik. Fikir-fikirkan...

§  Mutiara ini adalah merujuk kepada sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan, persediaan perlu ada dalam diri individu. Persediaan yang dimaksudkan adalah ilmu pengetahuan tentang perkahwinan. Belajarlah selok belok ilmu rumah tangga sebagai pedoman pada masa hadapan. Jika tidak pandai memasak, belajarlah memasak. Jika tidak tahu bagaimana menjadi suami atau isteri yang baik, tuntutlah ilmu daripaada mereka yang berpengalaman. Ambillah yang positif dan ketepikan yang negatif.

Kadang kala ALLAH sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, ke mana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya ALLAH hendak hadiahkan kita pelangi.

Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuhselagi ketenangan masih dapat dikecapi. Jiwa yang pasrah masih mampu bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut lama pasti akan sembuh selagi iman terselit di dada.

Mutiara kata ini mentafsirkan bahawa janganlah ber- sedih terlalu lama kerana masa yang bakal kita lalui akan mengubati luka yang ada. Selagi iman masih di dada, selagi itulah kita harus percaya bahawa kita masih mampu untuk bangun dan berlari mengejar harapan sehingga berakhirnya sebuah kehidupan.

Biarlah datang pelbagai bentuk dugaan yang menghentam sanubari, selagi iman masih di jiwa, tidak mungkin kita akan kalah! Katakanlah pada diri, tiada apa yang menakutkan kita selepas ini kerana kita telah berjaya melalui kepahitan yang sangat hebat dalam hidup. Katakan pada diri, “Akulah wanita yang terhebat dan cekal dalam perjalanan hidup ini.”

§  Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat. Pengetahuan dan pengalaman hidup haruslah sebati dalam kehidupan. Dalam membuat keputusan gunakanlah kekuatan akal yang diisi dengan pengetahuan yang secukupnya. Janganlah membuat sesuatu keputusan tanpa melakukan pertimbangan. Seandainya berada di jalan buntu sehingga sukar memilih, janganlah malu merujuk kepada mereka yang lebih berpengalaman. Itulah yang terbaik dalam menyelesaikan kecelaruan.

§  Tidak guna adanya mata andai tidak dapat melihat, tidak guna adanya hati kalau tidak tahu menilai. Maka nilailah hati itu dengan teliti sebelum mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati. Janganlah menyesali sesuatu yang telah pergi kerana sangat sukar untuk mencari jalan kembali.

Sebagai wanita, gunakanlah akal dan pertimbangan yang sewajarnya sebelum membuat keputusan. Nilailah perkara positif dan negatif sejujurnya melalui hati yang tulus. Ikhlaskan hati dengan sebarang kesan yang bakal dihadapi.

Setelah berbuat keputusan berserahlah kepada ALLAH S.W.T. Anggaplah dan yakinkan hati bahawa itulah keputusan yang terbaik. Teruskan berjuang dan jika berasa lelah di perjalanan hidup, mohonlah kepada ALLAH S.W.T agar dikurniakan kekuatan meneruskan perjalanan. Insya-ALLAH, ALLAH  S.W.T akan datang untuk menghulurkan tongkat dan tidak akan membiarkan kita dalam kesusahan.

§  Seekor serangga diberikan sayap oleh ALLAH supaya  boleh terbang dan menerjah api. Samalah halnya, kadang-kadang seseorang manusia itu diberi kecantikan supaya dengannya dia boleh berbuat sebanyak-banyak mungkar (andai memilih jalan mungkar) untuk diberikan balasan setimpal di akhirat kelak.

Lihat saja kehidupan glamor insan di keliling kita. Kisah hidup orang cantik selalunya penuh duri. Jika kita berwajah ‘biasa-biasa’ sahaja, setidak- tidaknya kita bebas daripada rasa riak dan takbur. Janganlah memburukkan kecantikan dalaman apabila sering mem- pertikaikan kerja penciptaan TUHAN, sebaliknya terus- terusanlah memuji kecantikan penciptaan yang telah dikurniakan, kerana pujian kita pasti akan mempamerkan keindahan kita jua kelak.

§   “Senyumlah kembali dan kesatlah air matamu kerana setelah jatuh air mata yang mengalir laju-laju, pasti dengan cepat dan pantas empangan matamu akan kering-kontang.” Apabila kita mahu menangis, keluarlah tangisan itu sepuas-puasnya untuk satu jangka masa yang telah ditetapkan. Mengapa harus menafi kan hak untuk menitiskan air mata?

Menitiskan air mata bukan melambangkan kelemahan sebaliknya menggambarkan bahawa kita telah terlalu lama bertahan dengan ujian yang melanda dan itulah waktu yang tepat untuk meraikan ketabahan. Menitiskan air mata dalam doa adalah lebih indah nikmatnya, kerana kita berkongsi rasa dengan ALLAH S.W.T. Tiada hijab yang boleh mengekang doa kita dengan-NYA. ALLAH S.W.T pasti mengerti, kerana DIAlah yang mencipta kita.

Setelah sampai tempoh, berhentilah menangis dan kembalilah tersenyum. Tunjukkan kepada dunia, selepas mendung berlalu kita masih mampu berdiri seperti pelangi dan tidak sekali-kali mengaku lemah!

Bicara Kata  “YA” dan “Tidak”


Di dalam hidup ini adakalanya kita harus menetapkan jawapan di antara ya dan tidak. Katakan ya bagi sesuatu yang baik dan tidak bagi sesuatu yang akan mendatangkan kemudaratan. Menjadi asertif (berkeyakinan) adalah benteng terbaik dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Katakanlah:
·        TIDAK... Bagi perbuatan yang dapat mensia-nsiakan umur, seperti membalas dendam dan berselisih faham dengan perkara yang tidak ada kebaikan di dalamnya. Biarlah ALLAH  S.W.T yang menghakimi segala perbuatan mereka yang pernah menyakiti diri. Bersabarlah dengan penganiayaan yang terjadi ke atas diri.
·     TIDAK... Bagi sikap yang lebih mengutamakan harta benda dan mengumpulkannya sehingga menjejaskan kebahagiaan dan waktu istirahat. Harta dunia tidak mampu membeli ketenangan tetapi harta akhirat dapat menjamin ketenangan abadi. Harta dunia akan selalu meresahkan apabila kekurangan dan apabila berlebihan akan selalu membuatkan rasa tidak mencukupi.
·     TIDAK... Bagi perangai yang suka mencari kesalahan orang lain, membuka aib orang (ghibah) dan menyembunyikan aib diri sendiri. Perbuatan suka memalukan orang lain akan mencantas sedikit demi sedikit kecantikan meskipun kita sedang memburukkan orang lain. Apabila tidak mampu menjaga mulut daripada mengeluarkan perkara yang tidak baik adalah lebih baik berdiam diri agar tidak menyakiti hati orang lain dan menyelamatkan diri daripada berbuat dosa kering.
·     TIDAK... Bagi perangai yang suka hidup dengan kesenangan hawa nafsu, menuruti segala tuntutan dan keinginan tanpa memikirkan baik dan buruk kerana akhirnya akan membinasakan kehidupan. Hawa nafsu ini jika tidak dijaga, dikawal dan dipenjara pasti akan memakan tuan. Ketahuilah, hawa nafsu inilah mampu menjauhkan diri dengan Pencipta.
·    TIDAK... Bagi sikap yang selalu menghabiskan waktu dengan sia-sia kerana ia menyebabkan hati menjadi semakin lalai mengingati akhirat. Sesungguhnya ALLAH  S.W.T pernah menyatakan bahawa manusia itu selalu kerugian kerana membazirkan masa yang ada dalam kehidupan. Tidakkah kita berasa detik-detik masa yang sedang lalui ini semakin pantas bergerak? Maka, isilah masa itu dengan sebaiknya.
·    TIDAK... Bagi mereka yang kurang mementingkan aspek kebersihan dan keharuman tubuh kerana ia mampu membuatkan orang menjauhkan diri. Itulah yang seorang perempuan harus utamakan, kerana bukankah perempuan itu selalu dikaitkan dengan kecantikan?
·    TIDAK... Bagi setiap minuman haram, rokok dan segala sesuatu yang kotor dan najis kerana ia akan meninggalkan titik hitam di hati seterusnya menggelapkannya sehingga begitu sukar melihat sesuatu melalui mata hati yang jernih. Tidak sukar menjadi pengurus diri sendiri. Apabila ALLAH S.W.T sudah menggariskan do and don’t maka, patuhilah kerana ALLAH itu Maha Mengetahui. Pengetahuan ALLAH S.W.T itu tidak terbatas. Pasti ada sebabnya kenapa ALLAH menurunkan sesuatu hukum haram dalam kehidupan.
·    TIDAK... Bagi sikap yang selalu mengenang kembali musibah atau dugaan yang telah lalu, bencana yang telah terjadi, atau kesalahan yang terlanjur dilakukan kerana ia hanya akan meninggalkan kita dalam satu lubang paling dalam dan membuatkan teraba-raba dalam kegelapan itu. Bangunlah kembali daripada kesalahan tersebut dan perbaikilah sebaik mungkin. Berdoalah semoga ALLAH S.W.T akan kembali merahmati kita. Percayalah, kita tidak akan hidup dengan tenang selagi tidak meraih kembali kasih sayang ALLAH  S.W.T.
·     TIDAK... Bagi tindakan yang melupakan akhirat, yang lalai membekali diri dengan amal soleh sebagai hantaran akhirat, dan yang lengah daripada peringatan tentang kedahsyatannya. Kiamat pasti berlaku dan hari perhitungan pasti akan kita hadapi, persiapkanlah diri untuk hari pertimbangan itu. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan melainkan diri sendiri.
·    TIDAK... Bagi perangai yang sukakan pembaziran kerana sikap membazir itu adalah amalan syaitan. Sesungguhnya di luar sana, masih ramai yang memerlukan pertolongan. Berjimat cermat adalah dituntut tetapi janganlah sehingga terperangkap dalam sifat bakhil. Jadilah seorang yang beringat dan berwaspada kerana kisah takdir kita ditentukan ALLAH  S.W.T. Berkongsi kesenangan dengan orang yang memerlukan dapat membantu kita mengatasi sifat membazir.   Contohnya, kita boleh menasihati diri sendiri jika berjaya melakukan penjimatan, baki daripada penjimatan itu boleh diagihkan pula kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk mengalas perut. Lihatlah di sini, besarnya pengorbanan yang dilakukan demi saudara seislam meskipun kita tidak mengenali mereka!

Katakan:
·   YA... Untuk senyuman cantik, yang mengirimkan cinta mulus, dan mengutus kasih sayang bagi orang lain kerana senyuman dapat menyejukkan hati yang resah dan  mendamaikan hati yang bimbang. Senyuman yang dapat menyejukkan hati yang melihat dan merupakan jambatan bagi permulaan silaturahim.
· YA... Untuk ucapan kata-kata yang baik, yang membangun persahabatan dan menghapuskan rasa benci kerana setiap butir bicara yang baik melambangkan peribadi sebagai wanita yang halus dan cantik budi bahasanya. Bayangkan seorang wanita yang manis bertudung, mengeluarkan kata-kata kurang enak seperti ‘mangkuk ayun’ dari bibir yang indah menawan. Bukankah persepsi mereka yang melihat dan mendengar kata-kata itu akan berubah?
·   YA... Untuk sedekah yang dikabulkan, yang mem- bahagiakan orang miskin, menyenangkan orang fakir, dan mengenyangkan orang lapar. Pemberian ikhlas akan mengurangkan penderitaan orang lain, meringankan beban yang terperangkap di dalam kesusahan dan kesenangan dan kebahagiaan akan dapat dirasai apabila berkongsi bersama dengan yang memerlukan.
·  YA... Untuk kesediaan duduk bersama al-Quran lalu membaca, merenungi dengan memahami dan mengamalkannya kerana hanya al-Quran mampu menerangi yang gelap dan meluruskan jalan yang bengkok. Isi kandungan al-Quran yang indah itu tidak akan mampu menandingi kitab-kitab dan buku yang ada di pasaran. Paling menarik, ALLAH S.W.T menghadiahkan satu surah khusus untuk kita, yakni surah al-Nisa’. Tidakkah kita berbangga tercipta sebagai wanita?
·   YA... Untuk kesediaan berzikir, beristighfar, tenggelam dalam lautan doa dan menyatakan permohonan taubat dengan bersungguh-sungguh tanpa merasa lelah kerana dengan cara itu kita tidak melupakan ALLAH  S.W.T dalam setiap helaan nafas.
·   YA... Untuk usaha mendidik anak-anak dengan agama, sunah, dan nasihat yang bermanfaat bagi mereka kerana kita telah diberi amanah daripada ALLAH S.W.T. Jadikanlah anak-anak sebagai perwira dan srikandi Islam dengan melengkapkan mereka dengan benteng keimanan supaya apabila kita menuju ke syurga tiada yang menjadi penghalang untuk melangkah masuk.
· YA... Untuk rasa malu dengan menutup aurat dengan sempurna seperti yang diperintahkan ALLAH, kerana hanya itulah cara untuk menjaga dan memelihara diri. Hijab dapat melindungi daripada mata nakal yang menyesatkan lagi merosakkan. Lihat perbezaan ini, seorang wanita cantik yang bergaya dengan seorang wanita cantik yang menutup aurat dengan sempurna. Seorang lelaki akan memuji si cantik yang bergaya, “Wow, cunnya awek tu!” tetapi apabila melihat si cantik yang menutup aurat mereka akan memuji, “Masya-ALLAH, cantik macam bidadari yang turun dari syurga.” Tanyakan pada diri, bentuk pujian yang mana yang lebih besar dan lebih bermakna? Pujian mana pula menjadi pilihan?
·   YA... Untuk pergaulan dengan wanita-wanita yang baik dan takut kepada ALLAH, mencintai agama dan menghormati nilai-nilainya kerana kita akan sentiasa berdiri kukuh bersama mereka sehingga ke titik hayat. Inilah benteng dan pergaulan ini tidak akan membawa ke jalan yang sesat.
·   YA... Untuk bakti kita terhadap orang tua, menjaga silaturahim sesama saudara, menghormati tetangga dan menggembirakan anak-anak yatim kerana mereka adalah tiket menuju ke syurga.
· YA... Untuk membaca sesuatu yang bermanfaat. Buku yang berilai ilmu yang boleh mendorong keluar dari kegelapan. Buku yang dibaca itu melambangkan siapa diri kita. Sekiranya kita penggemar membaca majalah gosip, itu bermakna kita seorang yang suka menjaga tepi kain orang. Sekiranya suka membaca novel, bermakna kita suka berimaginasi. Jika membaca buku agama, bermakna kita seorang yang sedang berusaha membaiki diri dan mengukuhkan iman. Jadi, dalam golongan apakah kita berada?


impianafida .  Sekiranya seorang perempuan tidak menemui lelaki yang sesuai dan baik untuk dijadikan teman hidup, adalah lebih baik dia menjaga diri dan tidak berkahwin dengan lelaki yang tidak berakhlak dan tidak beragama.

1 comment:

Assalamualaikum / salam sejahtera. Jemputlah komen jika bermanfaat. Terima kasih :)