nuffnang

4 May 2013

Wanita Meminang Lelaki


Alhamdulillah ada masa nak menghadap lappy walaupun bertimbun kerja nak kena buat . Baiklah.entry ini copy untuk tetapan dan bahan bacaan saya untuk dikongsi bersama.

''aku lihat dia disana..aku ingin mendekatinya..lalu aku emnyapa dia..dia pun membuka bicara dan aku mula mengenalnya''

Bila bercerita mengenai tajuk 'Perempuan Meminang Lelaki' ini, ia sepatutnya bukan perkara asing bagi kita sebagai umat Islam. Jika kita merujuk kembali Siratun Nabi, kisah ini telah tertulis hampir 1400 tahun yang lalu. Ia bukan melibatkan orang-orang biasa melainkan nabi junjungan kita umat Islam sendiri, Nabi Muhammad S.A.W. 

Khadijah binti Khuwaylid merupakan majikan kepada Rasulullah S..A.W. Di atas kebaikkan akhlak Muhammad S.A.W serta sifat-sifat baginda yang terpuji sebagaimana yang diceritakan oleh Maysarah, iaitu salah seorang hamba Khadijah, maka kepuasan hati terhadap pekerjanya tersebut bertukar kepada perasan cinta. Menurut satu riwayat, Khadijah menceritakan keinginan tersebut kepada Nufaysah binti Munyah.

Nufaysah kemudiannya menemui Rasulullah S.A.W dan memberitahu akan hajat Khadijah tersebut. Nabi Muhammad S.A.W agak terkejut kerana tidak terfikir akan menerima berita sedemikian. Ini kerana Khadijah sering menolak pinangan di kalangan orang terkaya di kalangan kaum Quraisy. Namun begitu, Rasulullah S.A.W menyampaikan berita gembira kepada Nufaysah dengan menerima lamaran Khadijah. Tidak lama selepas itu, sahlah Khadijah menjadi isteri Nabi Muhammad S.A.W dengan berwalikan bapa saudara Khatijah, Umar ibn Asad.

Menyingkap kembali sejarah alam perkahwinan Nabi Muhammad S.A.W, kita sepatutnya sedar bahawa peristiwa perempuan meminang lelaki ini bukanlah perkara baru. Siratun Nabi adalah contoh dan teladan yang terbaik untuk diikuti. Paling tidak pun, masyarakat tidak boleh memandangnya sebagai sesuatu yang pelik atau salah. Ini menunjukkan ia sebenarnya adalah sifat terpuji dan diharuskan dalam Islam.

Malangnya sejak zaman-berzaman lagi, masyarakat melayu diperkenalkan dengan istilah 'Perigi Mencari Timba'. Tidak perlu diperpanjangkan di sini akan apakah ia, masyarakat sudah sedia maklum akan maknanya. Peribahasa tersebut berbaur negatif yang menentang sekeras-kerasnya tindakan wanita untuk menyatakan hasrat hati kepada lelaki. Inilah yang membataskan orang Melayu sendiri untuk keluar dari kepompong adat. Tidak cukup dengan itu, masyarakat melayu amat ditekankan dengan amalan adatnya dengan peribahasa yang berbunyi 'Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat'. Orang Melayu amat mendahulukan adat dalam banyak perkara sehari-hari.
Jadi sekarang, di mana relevannya kedua-dua perkara ini?

Andai kita melihat dari sudut psikologi, ada relevannya jika kita biarkan sahaja orang Melayu ini terus dengan peribahasa jangan 'Perigi Mencari Timba'. Kita kekalkan wanita itu dengan sikap malunya dan lelaki itu terus dengan sikap mendahului wanitanya dalam perkara berkaitan dalam hubungan ke gerbang perkahwinan. Tentu ia manis, bukan?

Lelaki ini dilahirkan dengan sikap kerasnya dan sedia bersaing. Jika mereka berpeluang untuk dilamar, maka kuranglah perasaan ingin bersaing di dalam diri segolongan lelaki. Dalam keadaan masyarakat kita seperti hari ini, berapa ramai anak muda yang boleh mencontohi akhlak dan peribadi Rasulullah S.A.W untuk dilamar oleh wanita solehah? Sudah pasti wanita-wanita solehah yang ada turut menjadi target lelaki lain yang ingin bersaing yang mana keperibadian mereka lebih menonjol. Maka peluang mereka terus berlalu kerana semangat daya saing yang kurang. Selain itu, lelaki juga punyai perisai semulajadi dalam menangani emosi. Bagi kebanyakkan mereka, jika mereka berusaha mendapatkan seorang wanita yang mereka dambakan, sekiranya mendapat penolakkan, bagi lelaki 'life must go on'. Dalam diri mereka ada ego, yakin bahawa ada wanita yang lebih baik di luar sana.

Berbanding dengan wanita, jika kita membiasakan amalan melamar lelaki sebagaimana di zaman Rasulullah S.A.W, kita khuatir wanita dalam masyarakat kita tidak mempunyai kekuatan emosi seandainya lamaran mereka ditolak. Bagi wanita, keberanian sebesar itu datang dengan sebuah nekad, habis berani dan yakin. Seandainya wanita itu punyai kekebalan jiwa yang mana hati mereka dihiasi dengan roh Al-Quran dan As-Sunnah, maka tidak menjadi masalah. Bagimana jika mengganggu kehidupan harian mereka dalam pekerjaan, hubungan keluarga dan rakan-rakan? Yang akhirnya akan memudharatkan diri mereka sendiri dek kerana gangguang emosi serta kekacauan jiwa.
Dalam kajian psikologi juga, wanita ini akalnya pendek. Jika mereka tekad untuk meneruskan hasrat mendampingi lelaki yang mereka suka hanya dengan sebuah lamaran, kita khuatir mereka menjadi mangsa tipu daya lelaki durjana. Kerana mengejar kekayaan dan rupa, mereka akan hanyut di lautan dunia. Adalah lebih baik andai wanita itu menyembunyikan hasrat hatinya berbanding menyatakannya jika ini situasinya.

Namun begitu, kebiasaan seperti lelaki melamar wanita itu bukanlah sesuatu ketetapan. Apa yang diperlihatkan kepada kita melalui sejarah Rasulullah S.A.W, ia memberi contoh kepada ummat bahawa harus bagi wanita melamar lelaki. Kita perlu sedar, ada sesetengah lelaki melalui zaman bujang yang terlalu panjang sehingga mengabaikan alam berumahtangga. Golongan seperti ini memerlukan wanita yang cukup berani untuk menyatakan usul untuk membuka mata mereka bahawa mereka masih berpeluang.

Di dalam kehidupan serba moden yang dikelilingi hiburan, wanita-wanita baik sering berhadapan dengan lelaki yang membawa kepada lara. Sesekali mereka terjumpa lelaki yang boleh membawa mereka kepada amalan hidup yang baik, ternyata golongan lelaki ini sukar didampingi. Dalam keadaan inilah amat relevan jika wanita mendahului lelaki supaya wanita tidak dipikat oleh golongan yang mungkin boleh menghancurkan. Islam itu sentiasa menyediakan jalannya serta pilihan.
 
Ada juga golongan wanita yang tidak mahu usia mereka terus meningkat tanpa ikatan perkahwinan. Si lelaki pula takut menyatakan hasrat kerana khuatir si wanita belum bersedia. Seandainya wanita tidak keberatan untuk menyatakan kesediaan dan si lelaki kelihatan ada kesungguhan tetapi menanti waktu, adalah amat molek seandainya wanita menyatakan usul terlebih dahulu. Jika kedua-duanya terus menunggu sedangkan si wanita sudah bersedia, membuat lamaran kepada lelaki adalah perkara yang baik daripada terus memudharatkan usia mereka sebelum perkara yang lebih besar bakal diterajui hingga membataskan pernikahan.

Oleh itu sekali lagi kita tegaskan di sini, lelaki meminang wanita itu adalah kebiasaan tapi bukan ketetapan. Islam pula menyediakan jalan dan pilihan yang mana mengharuskan wanita meminang lelaki. Kedua-dua jantina ini berpeluang untuk menyatakan hasrat terlebih dahulu dan tidak ada mana-mana satu di antaranya menyalahi hukum agama. Islam itu tidak pernah membezakan hak antara lelaki dan perempuan hatta dalam hubungan ke gerbang perkahwinan sekalipun.

(Sumber rujukan sirah: Sejarah Kehidupan Nabi Muhammad, Dr Muhammad Hussein Haykal)

No comments:

Post a Comment

assalamualaikum / salam sejahtera ! i am afisya afida.