nuffnang

18 June 2014

Hukum Mewarna Rambut


Soalan: Ada seorang ustaz cakap, siapa yang warnakan rambut dengan selain inai kena botakkan kepala kerana mandi wajib tidak sah. Yang bertanya adalah perempuan, adakah perempuan itu kena botakkan kepalanya?
 
Jawapan:
Selain daripada inai, pada hari ini pewarna rambut sudah ada banyak. Ada yang berunsur dari unsur yang halal dan ada yang berunsur dari unsur yang haram.

Cuma isunya di sini, adakah sah mandi wajib ini air wajib diratakan pada rambut atau air perlu diratakan pada kepala?

Sah mandi wajib ialah air diratakan di kepala. Buktinya ada di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di mana jelas Baginda mengatakan bahawa bagi wanita yang bersanggul atau rambutnya berpintal, dia tidak perlu membuka sanggulnya jika hendak mandi wajib.Jadi wanita itu tidak perlu mencukur kepalanya.

Tetapi jika dia mewarnakan rambut dengan pewarna yang haram, selepas ini jangan warnakan lagi dengan pewarna tersebut.

Asal pewarna rambut ada warna hitam, ada warna oren. Warna hitam asalnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam larang. Nabi melarang khusus bagi orang yang sewajarnya pada usia tersebut telah beruban tetapi dia tidak mahu mengiktirafnya.

Melainkan kalau budak itu berumur 13 tahun tetapi rambutnya habis beruban, itu tidak kena dengan keadaannya. Adapun bagi orang yang memang sudah berusia, contohnya 30-an, 40-an, dan dia telah beruban, tidak boleh dia menghitamkan rambutnya.

Kedua, hitamkan rambut yang dibolehkan juga adalah sekiranya terlibat dalam peperangan, untuk menampakkan muda tentera-tentera Islam.Itu pun dibahaskan disebabkan bapa kepada Abu Bakar, Abu Quhafah di dalam hadis yang boleh dibaca di dalam Riyadhus Salihin tentang hukum mewarnakan rambut, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menegurnya kerana dia datang dalam keadaan rambutnya berwarna putih.
Nabi lalu memerintahkan kepadanya,

غَيِّرُوا هَذَا بِشَيْءٍ وَاجْتَبُوا السَّوَادَ
“Ubahlah ini dengan sesuatu dan jauhilah warna hitam.” (Riwayat Muslim)

Dari situ ada perselisihan. Ada yang mengatakan kalau sudah tua dan beruban tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna hitam, hendaklah mewarnakan dengan warna oren atau coklat keoren-orenan (warna inai). Adapun warna hitam betul hanya dibolehkan bagi orang-orang muda sahaja. Itu untuk tujuan peperangan.

Walau bagaimanapun, kembali kepada soalan, orang yang mewarnakan rambut tidak perlu membotakkan kepala. Sebab asal mandi wajib itu adalah meratakan air di tubuh badan.

Begitu juga dengan menyapu kepala ketika wudhu. Yang perlu disapu adalah kepala, tetapi kenapa kita menyapu rambut adalah sebab rambut berada di atas kepala. Bukan tujuannya menyapu rambut. Kalau orang yang memang botak dan tidak ada rambut, adakah dia tidak boleh wuduk kerana tidak ada rambut?

Yang betul yang perlu disapu (ketika wuduk) adalah keseluruhan kepala, bukan menyapu tiga helai rambut, atau menyapu rambut sampai ke hujungnya. Kita bukan disuruh menyapu rambut tetapi kita disuruh menyapu kepala.

Begitu juga mandi wajib, kita hanya perlu meratakan air di kepala. Jika bersanggul, sanggul itu tidak perlu dibuka, cukup sekadar meratakan air di atasnya.

Wallahu a’lam.

#ustazfathulbari

No comments:

Post a Comment

assalamualaikum / salam sejahtera ! i am afisya afida.